Apakah hukum buruk sangka? Buruk sangka di dalam Bahasa Arab disebut
Husnuzzon (Husnu Zhon) berlawanan dengan baik sangka (Suu zhon). Adakah
diperbolehkan buruk sangka? Mari kita kupas persoalan-persoalan ini dan
selanjutnya akan disimpulkan ringkas dan padat buat pemahaman pembaca.
Buruk sangka ialah satu daripada penyakit-penyakit hati yang amat
kronik! Kenapa? Kerana ia bukan sahaja menjarah dengan parah terhadap
hati dan jiwa pengidapnya, akan tetapi turut lahir tersendiri, malah ia
lahir bersama dengan sifat-sifat mazmumah lain yang bongkak, dendam,
zalim dan sebagainya. Maka apabila sifat tersebut meneraju serta memacu
kehidupan seseorang insan, ia akan menjadikan manusia itu yang sentiasa
resah, gelisah dan tidak tenteram, kerana sentiasa mencari keaiban dan
kelemahan orang lain, tidak punya masa untuk mengingati Allah SWT dan
muhasabah diri.
Buruk sangka yang dimaksudkan di sini ialah buruk sangka yang tidak
baik. Ia mengheret sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati, yang
akan mempengaruhi anggota-anggota badan yang lain supaya mengikut
kehendaknya.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menyatakan bermaksud,
“Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,
maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah
sekaliannya, ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.” (Hadis Riwayat
Al-Bukhari Muslim)
Buruk sangka dibahagikan kepada 2 jenis:
Buruk sangka yang bertujuan baik, seperti untuk menyedarkan atau memperbaiki seseorang yang dikatakan melakukan kejahatan.
Buruk sangka yang bertujuan jahat demi untuk menjatuhkan maruah dan
kedudukan seseorang. Walau apapun tujuannya, buruk sangka tetap
memberikan impak yang negatif, jarang ada manusia yang terselamat dari
terkena bahana prasangka.
Dengan sebab itulah Islam sangat melarang daripada berprasangka.
Buruk sangka boleh terjadi dengan berbagai sebab antaranya:
1 – Godaan dan tipu helah syaitan atau iblis. Buruk sangka adalah
jalan terbaik bagi syaitan merangsang manusia untuk bergaduh, mengumpat,
melempar tohmahan, membuat pakatan jahat, berpecah belah dan
sebagainya.
2 – Kelemahan jiwa. Jiwa yang lemah akan mendorong seseorang mudah
terikut dengan pemikiran yang negatif dan buruk terhadap orang lain.
3 – Perasaan sombong dan bongkak. Perasaan ini menyebabkan seseorang itu
merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Dia merasa dengki
sekiranya terdapat individu lain mendahului dalam mengecapi sesuatu
kejayaan atau membuat sesuatu kebaikan atau pun mendengar orang memuji
musuhnya dihadapannya.
4 – Keburukan batinnya. Seseorang yang biasa membuat tipu helah dan penipuan akan merasakan orang lain juga sama sepertinya.
Kesimpulannya, sebagai insan dan hamba kepada Maha Pencipta,
hendaklah kita senantiasa bersifat mendongak ke atas memohon keampunan
keatas khilaf dan silap, senantiasa muhasabah diri. Jangan mencari
salah, perbetulkan salah. Elakkan buruk sangka, berbaik sangka seadanya.
Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.